Mengurus kewangan? Memang saya sangat lemah part ni. Kadang-kadang bila ada RM50 dalam dompet, sedar-sedar je tak sampai sehari dah habis.
Part nak menyimpan duit pun sama. Korang macam saya jugak ke? Tadi tengah jenguk-jenguk FB tetiba je terbaca info best tentang cara nak urus kewangan ni.
Antaranya tips-tips yg boleh kita praktikkan:
PERTAMA
Pertama sekali, solat taubat dan istighfar sebanyak-banyaknya. Saya amat percaya bahawa, rezeki yang datang kepada saya adalah daripada Allah.
Ustaz-ustaz saya selalu mengingatkan kepada saya, agar selalu memohon keampunan daripada Allah, untuk murah rezeki. Kalau hubungan kita dengan Allah ada masalah, biasanya rezeki kita pun akan ada masalah.
Kalau dapat duit pun, duit akan bocor dan habis ke tempat yang kita tak sedar.
KEDUA
Seterusnya, beritahu pasangan masalah kewangan anda. Biasanya, ketika waktu tekanan seperti ini, keretakan rumah tangga boleh berlaku. Dan biasanya, ia disebabkan masalah komunikasi.
Pasangan tidak sedar atau buat-buat tak sedar tentang masalah kewangan kita. Jadi, kita perlu beritahu, bahawa sekarang, kita akan berbelanja mengikut keperluan.
Saya selalu praktiskan ini, dan Alhamdulillah, isteri saya adalah pasangan yang memahami.
KETIGA
Potong perbelanjaan yang tidak perlu. Saya senaraikan ye apa yang tidak perlu.
Astro - melainkan kedai makan, saya tidak nampak Astro sesuatu yang boleh mendatangkan income. Liabiliti.
Bil telefon - Pakai prepaid.
Jimatkan elektrik - Kalau tak perlu tengok tv, tak payah buka. Air cond hanya buka ketika hari panas. Lampu dan kipas pastikan tertutup, jika tidak digunakan.Penuhkan peti ais dengan barang-barang. Lagi penuh peti ais, lagi kurang tenaga diperlukan. Kalau takde barang, penuhkan dengan bekas berisi air.
Berbelanja ketika orang lain tidak membeli belah dan dalam kuantiti yang BANYAK ! - jimat minyak, jimat masa.
Makan di rumah. Kalau tak pandai memasak, belajar. Sekali makan dekat luar, boleh makan 2 hari dekat rumah. Kalau perlu, bawa bekal daripada rumah ke tempat kerja. Minum Air kosong/suam. Badan sihat, otak cergas dan JIMAT !
KEEMPAT
Ok, kita dah kurangkan perbelanjaan. Sekarang, tambahkan pendapatan pula.
Contohnya buat kerja part time, online business, dropship dan lain-lain.
KELIMA
Bila income dah bertambah, selain keperluan, fokus untuk bayar hutang dulu. Utamakan membayar hutang yang mempunyai RIBA* yang tinggi dahulu.
Sebagai contoh, kad kredit.
Selesaikan hutang kad kredit yang paling tinggi dahulu. Kalau ada 2,3 kad kumpul hutang kad jadi satu.
Detail jangan tanya saya . Cuba tanya AKPK
*RIBA juga dikenali sebagai bunga atau interest. Saja guna perkataan RIBA, sebagai menggambarkan ia adalah sesuatu yang teruk. Kalau guna "bunga" memanglah ramai suka.
KEENAM
Bersedekah ! Mungkin akan ada yang kata saya gila. Tapi percayalah, bila kita bersedekah, rezeki kita akan bertambah.
Tak dapat banyak, mulakan dengan bersedekah dengan gula-gula 5 sen kepada kanak-kanak.
Sebaiknya, utamakan bersedekah kepada manusia daripada masjid. Bukan kata sedekah dekat masjid tak dapat pahala, tapi kalau sedekah dekat anak yatim, manfaatnya lebih besar. Wallahua'lam.
KETUJUH
Setelah berusaha, kita dianjurkan untuk bertawakkal. Jadi, sekarang ini, setelah usaha dan ikhtiar telah dibuat, bertawakkallah kepada Allah.
KELAPAN
Apabila masalah kewangan telah selesai, pergilah mencari ilmu yang boleh mendatangkan pendapatan, atau yang dapat mengawal kewangan.
Sekian saja. Yang mana-mana releven tu, boleh la praktikkan!