Thursday, January 7, 2010

Nak Trade In Kereta??

Mungkin ada yang dah berkira-kira berapa bonus yang akan dapat hujung tahun ini. Cuma sedikit nasihat kepada mereka yang berkira-kira yang hendak tukar (trade in) kereta, dah banyak kes berlaku di mana kereta yang di trade in, tidak dijual oleh penjual kereta.

Pemilik kereta asal yang menyangka kereta trade in mereka telah dijual sebenarnya masih tidak terjual, akibatnya mereka akan menerima surat tunggakan bayaran daripada bank, surat mahkamah, lebih malang lagi mereka menerima tunggakan saman lalulintas dan lebih malang jika kereta mereka digunakan untuk tujuan jenayah dan penyeludupan.

Berikut ialah beberapa tips kalau hendak trade in kereta :

1. Dapatkan harga pasaran kereta anda daripada majalah, akhbar, atau laman web www.ambg.com.my, www.motortrader.com.my, www.thestar.com.my dan lain-lain.

2. Dapatkan jumlah baki pinjaman anda daripada bank (full settlement).

3. Jika full settlement anda adalah lebih dari harga pasaran, maka anda akan berisiko kalau anda trade in kereta anda.

4. Berhati-hati peniaga kereta yang menawarkan 0 downpayment kalau anda trade in kereta anda. Anda akan membuat pinjaman kereta baru dan kereta lama anda belum tentu lagi dapat dijual.

5. Berhati-hati juga peniaga kereta yang sanggup mengambil kereta anda walaupun full settlement lebih tinggi dari harga pasaran kereta walaupun anda dioffer discount untuk kereta baru , kerana sekali lagi kereta lama anda belum dijamin akan terjual.

6. Sebaiknya anda trade in kereta apabila road tax atau insuran kereta lama anda hampir tamat tempoh, tetapi anda masih tetap berisiko.

7. Sebaiknya mereka yang ingin trade in kereta, pastikan ada pembeli untuk kereta anda terlebih dahulu.


Walau apa pun, sekiranya anda tidak pasti dalam urusan jual beli kereta, dapatkan nasihat daripada rakan anda yang sentiasa ingin membantu, bukannya rakan yang mengharapkan komisyen.

Berikut ialah laporan akhbar mengenai kes jual beli kereta di Seremban:


Harian Metro 4 Disember 2006. Peniaga kereta tamak.

Oleh Sulaiman Salleh

SEREMBAN: Sikap tamak sesetengah peniaga kereta terpakai di negeri ini menyebabkan banyak pengguna teraniaya apabila mereka menerima saman lalu lintas dan notis tunggakan bayaran ansuran walaupun kereta itu baru dibeli.

Presiden Persatuan Pengguna negeri (PPNS), Khairuddin Yunos, berkata peniaga kereta terpakai terbabit bersekongkol dengan orang tengah untuk memujuk pengguna menjual kereta mereka atau membeli kereta baru.

Katanya, orang tengah memperkenalkan pengguna kepada peniaga kereta terpakai dengan memberi beberapa cadangan kepada pengguna membeli kereta baru.

"Peniaga terbabit memujuk pemilik kereta itu dengan mengatakan dia tidak perlu membayar ansuran bulanan kepada bank selepas kereta mereka diserahkan untuk urusan pertukaran hak milik kepada pembeli baru.

Bagaimanapun, selepas beberapa bulan pemilik kereta itu mengesyaki mereka ditipu apabila dihubungi pihak bank yang memberitahu pembayaran bulanan kereta tertunggak," katanya ketika dihubungi, semalam.

Khairuddin berkata, PPNS memandang serius masalah itu kerana persatuan itu menerima kira-kira 10 aduan berhubung perkara itu dalam tempoh beberapa bulan lalu.

"Sikap sambil lewa serta keghairahan menggunakan kereta baru kerap menyebabkan pengguna terpedaya dengan sikap tamak peniaga kereta terpakai terbabit," katanya.

Katanya, pengguna perlu prihatin dengan perkara itu bagi mengelakkan teraniaya dengan sikap tamak peniaga kereta terpakai yang tidak bertanggungjawab.

"Pengguna boleh mengetahui status pinjaman daripada bank mengenai pembeli yang berminat membeli kenderaan mereka dalam tempoh kira-kira dua minggu," katanya.

Katanya, pemilik yang didaftarkan dalam geran kenderaan itu bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini seperti kemalangan atau kereta itu digunakan untuk kegiatan jenayah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...