Pernahkah pendapat anda disanggah dengan kasar semasa perbincangan? Atau pernahkah anda dimalukan dengan sindiran yang jelas sekali bertujuan untuk menyakiti hati anda? Jangan mudah hampa atau sedih mendengar komen-komen negatif seumpama ini. Apa yang penting peganglah pendirian iaitu ’layanlah kawan atau orang lain sebagaimana anda ingin dilayan’.
Ikuti tips berikut agar anda dapat menjadi kawan yang disenangi semua.
•Jika anda tidak suka ditempelak, dicemuh atau dimarahi, jangan sesekali melakukannya terhadap orang lain. Amalkan sikap suka ”membuat kawan” dan menjadi rakan yang disenangi oleh sahabat handai atau orang ramai yang berurusan dengan anda.
•Untuk membuatkan orang suka dengan kita, ia memerlukan sikap sensitif dan prihatin serta berdiplomasi dalam berkomunikasi. Jadikan diri anda kaya dengan peribadi baik dan bersederhana kerana sifat ini disukai Allah.
•Sentiasa bermanis muka, lembut dalam percakapan serta elakkan berkata kasar dan bermasam muka. Bercakap tanpa berfikir besar padahnya. Berhenti sejenak sebelum berkata sesuatu. Andaikan anda dirinya dan bayangkan reaksinya sebelum memberi pandangan atau komen.
•Elak diri anda dari suka marah-marah. Bersabar itu adalah sebahagian daripada iman. Maka amalkan sikap sabar sepanjang masa. Jangan bersikap keras tidak menentu serta tergopoh gapah ketika bertindak atau membuat sebarang keputusan.
•Jauhi pertelingkahan atas perkara yang kecil atau remeh. Jika tidak sependapat berhujahlah secara palilng berdiplomasi tanpa mengecilkan hati mana-mana pihak dengan kata-kata yang meyinggung perasaan atas sebab tidak setuju dengan pandangannya.
•Berilah bantuan kepada rakan-rakan yang inginkan pertolongan anda. Jika rakan taulan menyatakan kekecewaan, keresahan atau ketidakpuasan hati terhadap sesuatu isu di tempat kerja, inilah masanya anda menjadi pendengar setia.
•Untuk menjadi pendengar yang baik, beri perhatian terhadap apa yang diperkatakan. Elak daripada bersikap acuh tak acuh dengan sebarang idea, komen, pendapat dan penjelasan yang diluahkan. Bukan sekadar mendengar, jadilah orang yang suka mendengar pada perkara-perkara yang baik. Adalah wajar berdiam diri sahaja kepada perkara-perkara yang jelas berbentuk umpatan dan cacian. Peliharalah lidah anda dengan tidak bercakap pada perkara-perkara yang tidak berfaedah kerana tindakan itu adalah sebaik-baik ciri seorang muslim sejati.
•Jika ingin memberi pendapat, pastikan anda mendengar pandangan mereka dahulu sebelum membuka mulut. Selalulah berkata dengan tujuan ikhlas. Jika kawan anda agak egois, ubah cara anda memberikan pandangan. Syorkan saranan anda dengan cara menyoal dan bukan membuat kenyataan. Contoh: ”pernahkah anda mencuba...” adalah lebih baik daripada berbicara dengan: ”saya rasa awak perlu lakukan begini, begitu...”
•Jika ingin suka didampingi, selalu tunjukkan minat yang ikhlas terhadap diri orang lain dan perkara-perkara yang menggembirakan mereka. Bagaimana perasaan anda jika rakan sering bercerita mengenai diri dan kerjayanya, masalahnya, keluarganya dan anak-anaknya tetapi dia kurang pula bertanya atau tidak menunjukkan langsung minat mengenai diri anda? Mungkin orang begini kurang disenangi kerana banyak bercakap mengenai diri sendiri serta kurang peka terhadap orang lain disekitarnya. Oleh itu, tunjukkan anda mengambil berat dan sentiasa memandang penting apa yang dibicarakan. Ingat, jangan fikir anda seorang sahaja yang penting.
•Jangan menunjuk-nunjuk yang anda tahu dan boleh serba-serbi. Biar orang lain membuat penilian meraka sendiri terhadap anda dengan cara memerhati atau melihat hasil tindakan dan keputusan anda. Dalam hal ini selalulah belajar dari orang lain kerana seorang yang berperibadi baik dan bijak adalah yang suka belajar dari pengalaman orang lain sama ada dari sudut kelemahan atau kejayaannya.
Jika anda amalkan sikap dan penampilan seperti di atas, percayalah anda adalah orang yang sangat disenangi dan akan mempunyai ramai kawan dari lawan tidak kira di mana sahaja anda berada, InsyaAllah..